Sunday, November 20, 2016

Memupuk semangat berniaga di IPTA

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) sedang mengadakan pesta konvokesyen yang ke-29 yang berlangsung dari 9 hingga 16 November 2016. Majlis perasmian pesta berkenaan telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Ahmad Bashah Bin Md. Hanipah, Menteri Besar Kedah.

Pesta konvokesyen ke-29 ini juga membuka peluang kepada para pelajar universiti bagi mencungkil bakat keusahawanan mereka dengan membuka gerai perniagaan mereka yang tersendiri. Peluang keemasan ini tidak seharusnya disiakan oleh para pelajar yang berminat dalam bidang perniagaan. Ini kerana, ia dapat membuka mata para siswazah dalam mengenali dunia perniagaan.


Pelajar pengurusan perniagaan, Amirul Ashraf (tengah) bersama rakannya berniaga di tapak pesta konvokesyen ke-29. Foto Nabil Fikri

Amirul Ashraf Bin Mohammad, 23, pelajar pengurusan perniagaan semester tujuh juga tidak ketinggalan dalam mengambil bahagian bagi menyertai peluang keemasan ini. Beliau membuka gerai minuman bersama rakannya. Menu minuman istimewa yang disediakan ialah cincau karamel.

Beliau sebelum ini memang aktif berniaga di setiap karnival yang terdapat di dalam kampus. Dengan pengalaman yang ada, beliau tidak teragak-agak untuk membuka gerai minumannya di tapak konvokesyen pula.

Menurut beliau, “saya seronok berniaga di dalam kampus, ramai rakan saya memberitahu bahawa air yang saya buat sangat sedap dan harganya juga berbaloi. Jadi, saya buka gerai ini untuk memenuhi citarasa pelanggan saya disamping memperoleh sedikit wang bagi menampung kos sara hidup yang meningkat”.

Tambah beliau lagi, “saya mengambil kos pengurusan perniagaan. Peluang ini membolehkan saya menggilap bakat berniaga yang baru hendak berjinak dalam bidang ini. Untuk dapat tapak di pesta konvo ini bukannya senang, banyak prosedur yang perlu dipatuhi untuk dapatkannya”.

Beliau juga berharap agar ramai lagi pelajar yang mengambil bahagian dalam pesta konvokesyen yang seterusnya. Hal ini kerana, aktiviti ini dapat mengeratkan silaturahim dan dapat mengenali lebih ramai orang.


Seperti yang kita tahu aktiviti perniagaan adalah merupakan perkara yang sangat mulia kerana rasulullah juga menuntut kita agar berniaga. Ia kerana, aktiviti perniagaan dapat menghapuskan riba dan sumber yang diperoleh juga menjadi bersih.